Thursday, December 25, 2008

Diari Catatan Anak-Anak

Mak De

Kisah hidup ketua keluarga.

Haji Khalil bin Haji Abd. Samad,bapaku, lahir pada 1933 dari sebuah keluarga yang terhormat Haji Abd. Samad, seorang ketua kampung yang boleh dikatakan kaya, dihormati dan disenangi penduduk kampong Simpang Baba Muar.

Namun, Khalil bukanlah seorang yang suka memanjakan diri. Setelah sempat bersekolah setakat darjah 3 kerana kedatangan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1945. Khalil meneruskan kehidupan dengan memanjat pokok kelapa; memetik kelapa tua, mengerjakannya menjadu kelapa salai dan mengumpul air nira kelapa dan seterusnya dimasak untuk dijadikan gula kelapa. Khalil begitu gigih walau pokok kelapa yang dipanjatnya itu lebih tinggi dari bumbung rumahnya walaupun ketika itu beliau baru berusia 11 tahun.

Menjelang remaja, seperti remaja lain beliau mula berangan-angan untuk mencari teman hidup. Beliau begitu berhati-hati memilih sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Dalam mimpinya Khalil berjumpa seorang tua yang mengatakan carilah seorang gadis yang namanya dieja dengan dua huruf sahaja dalam ejaan jawi. Setelah tersedar teringatlah beliau kepada Yah dan Nah dan akhirnya Yah terpilih.

Yah binti Haji Harun, anak seorang imam yang disayangi dan dihormati penduduk kampong Serom 5 Hulu Muar. Beliau terdidik dalam agama dan seorang pembaca al-quran yang baik. Gemersik suaranya ketika membaca al-quran dan berzanji. Namun sebagai seorang gadis pingitan beliau tidak dihantar ke sekolah kebangsaan menyebabkan beliau seorang yang ‘ummi’, tidak tahu membaca,selain al-quran dan tidak tahu menulis. Namun berkat kegigihannya setelah bersekolah Dewasa, beliau mampu mengajar anak-anaknya menulis dan membaca walaupun mengeja-eja.

Di usia masing-masing 14 atau 15 tahun terdirilah mahligai yang dicita-citakan dan bermulalah perjalanan kehidupan kami sekeluarga

Walaupun Haji Samad seorang ‘kaya’ tetapi kerana anak-anaknya ramai, abah hanya mendapat sebidang tanah untuk dijadikan tapak rumah dan sehektar tanah kebun getah tua.

Pelbagai kerja dilakukan oleh Khalil untuk menanggung kami adik- beradik seramai 12 orang. Bermula dengan menoreh getah diselangi dengan sebagai nelayan dan bersawah padi. Kedua-duanya sangat gigih bekerja. Bila hari hujan, mereka akan menoreh getah disebelah petang apabila kulit pokok getah telah kering. Tidak cukup di kampung sendiri, abah pernah merantau menoreh di estate di Bukit Gambir dan Batu 27 Lenga di kebun cina. Pada ketika itu tinggallah kami adik-beradik meguruskan diri sendiri di rumah. Abah akan tetap pergi menangkap ikan walaupun ketika itu hujan lebat, guruh berdentum dan kilat sabung-menyambung di malam gelap-gelita. Abah memulakan penanaman padi di seberang Sungai Muar dengan membuka tanah bakau di tepi sungai. Masih saya teringat-ingat dikemerahan senja menjelang, ketika itulah kami bergelut dengan kemerahan dan bahang api menjulang membakar banir-banir kayu bakau yang kering.

Abah menabung dalam tabung buluh yang dibuatnya. Kami pernah makan lempeng tepung gandum selama lebih satu bulan kerana tiada duit untuk membeli beras dan minyak kelapa. Namun abah seorang yang penyayang, beliau akan memastikan yang setahun sekali anak-anaknya dapat memakai pakaian baru, makan daging dan ayam dan menonton wayang pada hari raya aidil fitri.

Di dalam pendidikan, abah seorang yanag tegas. Beliau akan memastikan kesemua anak-anaknya bersekolah dengan bersungguh-sungguh, bersekolah agama hingga tamat dan pergi mengaji al-quran sehingga katam. Pada mulanya, abah mengajar kami mengaji di rumah kemudian dihantar belajar ke rumah arwah abang Limat dan makcik Robiah dan akhirnya di rumah Usu Mat Nor dan Uteh Hawa. Alhamdulillah kami semua dapat membaca quran dengan baik dan telah khatam.

Abah juga sanggup berhabis untuk memastikan anak-anaknya dapat menyambung pelajaran. Beliau pernah menjual sekeping tanah hanya disebabkan tidak mempunyai wang untuk menghantar anak ke sekolah asrama penuh. Keperitan kewangan abah begitu panjang..

Abang Jalal ke MCKK dan seterusnya ke UM mengambil bidang perubatan.

Abang Ngah ke SM Alam Shah, Kuala Lumpur. Seterusnya ke UPM Serdang mengambil bidang pertanian.

Saya ke SMK Kolam Air, KL. Seterusnya 1975_ ke UKM mengambil bidang perubatan

Khairir ke MRSM Seremban. Seterusnya ke Melbourne mengambil bidang kejuruteraan

Siha ke MRSM Seremban. Seterusnya ke USA, mengambil bidang matematik

Abin ke Sekolah Teknik Tengku Jaafar, Negeri Sembilan. Seterusnya ke USA mengambil bidang perakaunan

Aman ke SM Teknik, JB. Seterusnya ke USA mengambil bidang kejuruteraan

Sayang ke Politeknik Ungku Omar, mengambil bidang kejuruteraan elektrik

An ke UPM, Serdang mengambil bidang computer sains

Lin ke SM Teknik, Seremban. Seterusnya ke UPM mengambil bidang pemasaran

Yan ke SM Teknik, Muazam Shah. Seterusnya ke Politeknik Port Dickson menjurusi bidang kejuruteraan elektrik

Kehidupan mula ringan apabila anak-anaknya mula bekerja.

abg Jalal sebagai doktor perubatan

abg Ngah sebagai pagawai pertanian

saya sebagai doktor perubatan

khairir sebagai seorang jurutera

nosiah sebagai pensyarah di uitm .

norbil sebagai akauntan

rahman sebagai jurutera perunding carigali minyak

nor kasihani sebagai penganalisa program

nor sayang sbagai juruteknik

norhaslina sebagai pengurus sekolah swasta

norazian sebagai juruteknik

Secara peribadi abah dan emak dihormati penduduk kampung. Abah pandai bergaul dan menghormati orang lain.Abah bekerja secara sukarela sebagai seorang AJK masjid dari muda sehinggalah ahli qariah menggantikannya dengan yang lebih muda. Juga selama beberapa tahun membersihkan tanah waqaf. Emak juga seorang yang tabah .Disamping menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga bersendirian, mak akan tetap bersama-sama abah walau dimana sahaja abah bekerja, membantu dan menemaninya. Emak jarang bertandang tanpa sebab ke rumah jiran, tidak suka berbual kosong, mengumpat mahupun menceritakan masalah kami kepada orang lain. Selain membantu abah, mak juga membuat kerja-kerja sambilan seperti menternak lembu,kambing, ayam dan menganyam tikar mengkuang atau pandan untuk menampung keperluan keluarga. Kami juga pernah sama-sama mengusahakan pembuatan tali dari pokok benta yang dicari di sawah-sawah padi, dikeringkan kemudian dijual kepada peraih cina untuk mendapatkan wang.

Kami cuma merasai sebuah rumah `baru’ pada tahun 90an dan abah berhenti sebagai seorang pencari wang yang tetap setelah berhenti bekerja di kilang getah .

Kini keluarga Khalil selesa dengan mempunyai 3 orang doktor; Dr.Jalal, Dr.Norlah dan Dr. Khairir, seorang pegawai pertanian, 1 orang jurutera, 2 org pensyarah, seorang programmer, seorang usahawan, dan dua orang juruteknik. Semua anak-anaknya telah berumah tangga dengan hampir kesemua menantu mereka adalah seorang tenaga pendidik. Setiap kali raya rumahnya akan dipenuhi dengan lebih 50 orang cucu. Dan kini mereka mempunyai 3 orang cicit. Dari cucu-cucu nya setakat ini 6 orang mengambil bidang perubatan , 6 orang dibidang kejuruteraan ,dan beberapa orang dibidang pendidikan.

Perlu juga disebut , seorang dari anak mereka , Normah , jika dikatakan tidak begitu berjaya didalam pelajaran , ini sebenarnya bukanlah kerana kelemahannya. Ini adalah kerana nasib tidak menyebelahinya dalam kontek ini. Dia telah mengalami “birth aspyxia” kelemasan semasa dilahirkan kerana dia dilahirkan lambat satu jam dari kembarnya iaitu saya. Tetapi dia berjaya didalam kontek kehidupan selanjutnya dan kini mempunyai beberapa orang cahaya mata yang begitu cemerlang di dalam pelajaran dan kehidupan.

FALSAFAH KEHIDUPAN KHALIL

1. Bercermatlah tapi jangan kedekut

2. Harta sendiri disayangi, harta orang ditakuti

3. Jauh perjalanan banyak pengalaman

4. Setiap perkara yang dikerjakan memerlukan ilmu

5. Tiada yang mustahil kalau kita berusaha

6. Insan di hormati kerana keperibadiannya bukan kerana hartanya.

Diantara Insiden sedih tapi dihadapi dengan tabah:

1. Pernah suatu ketika abah hendak meminjam duit dari sesaorang tapi tidak diberi sebaliknya dikatakan kalau dah miskin tu jangan lah nak dihantar anak belajar tinggi2.

2. Pernah dihalau dari tanah sawah yang telah berjaya diusahakan kerana dikatakan bukan hak mutlak abah.

3. Terpaksa menutup kedai minumnya( abah pernah cuba berniaga) keran orang kampung terlalu ramai yang berhutang tapi tidak membayarnya.

Foto Keluarga

Gambar beramai-ramai di Hari Raya Pertama 2008